Loading...
Gadget by The Blog Doctor.

Selasa, 17 Mei 2011

Inovasi kerepek buah-buahan

Potensi Malaysia untuk menjadi salah sebuah negara pengeksport makanan dan minuman ringan di peringkat antarabangsa semakin cerah.

PERUBAHAN iklim dan bencana alam seperti kemarau berpanjangan di beberapa buah negara pengeluar makanan utama. Pertumbuhan penduduk global sebanyak 1.5 peratus berbanding pengeluaran padi dunia iaitu satu peratus pada tahun 2007, merupakan antara faktor yang menyebabkan peningkatan harga makanan dunia. Walaupun keadaan pasaran makanan dunia sejak awal tahun telah mencetuskan krisis di beberapa buah negara, ia tetap menjadi keperluan utama dalam kehidupan seharian. Malaysia bagaimanapun masih belum menghadapi masalah serius berkaitan kekurangan bahan makanan.

Ironinya bekalan makanan sedia ada dalam negara adalah mencukupi. Malah, kerajaan juga telah memperuntukkan badget yang besar untuk menangani isu bekalan dan harga makanan dalam negara.
Potensi Malaysia untuk menjadi salah sebuah negara pengeksport makanan dan minuman terkemuka di peringkat antarabangsa semakin cerah. Menyedari hakikat itu, kerajaan menggiatkan usaha memajukan industri makanan dan minuman. Tindakan ini wajar, supaya lebih banyak produk makanan keluaran negara dapat dipasarkan ke peringkat global, demi memenuhi kehendak pasaran. Inisiatif kerajaan itu terbukti menerusi penganjuran Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa 2009 (MIFB 2009), yang diadakan pada 9 hingga 11 Julai lalu. Pameran bertaraf antarabangsa kali ke-10 itu, mencatatkan penyertaan dari 28 buah negara. Antaranya, Arab Saudi, China, Thailand, Belgium, Korea Selatan, Armenia, Turki dan Vietnam.


Ternyata pameran selama tiga hari itu menjadi platform terbaik untuk pengusaha tempatan meneroka peluang pasaran dunia. Sekali gus mempromosi produk dan barangan tempatan. Pameran anjuran Kumpulan Utusan dan Expomal International Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu berusaha mengidentifikasi barisan usahawan tempatan yang menghasilkan produk unik berbanding produk makanan luar negara. "Sebelum ini, penggemar kerepek berpeluang menikmati pelbagai jenis kerepek seperti kentang, pisang dan ubi. Kini mereka boleh merasai keenakan kerepek buah-buahan yang dihasilkan daripada rambutan, nangka dan nanas. "Produk kerepek buah-buahan tempatan mungkin tidak pernah difikirkan oleh orang ramai sebelum ini. Sehinggalah sekumpulan usahawan tempatan muncul menghasilkan inovasi ini," kata Pengurus Besar Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan Sik, Kedah, Mazlan Ahmad. Beliau ditemui Kosmo! pada pameran yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.



Pengurus berusia 45 tahun itu mengelola projek mega berasaskan buah-buahan tempatan yang digoreng secara vakum. Beliau memberitahu, daerah Sik yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Gurun, Kedah sememangnya terkenal dengan penghasilan buah-buahan tempatan. "Lokasi yang terpencil, kemiskinan penduduk kampung dan kekurangan pendedahan terhadap dunia luar menyebabkan hasil buah-buahan terbiar begitu sahaja, serta tidak dapat dikomersialkan. "Bagi membantu melahirkan usahawan tempatan dan mengkomersialkan hasil-hasil tempatan, Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan Sik telah berkolaborasi dengan kerajaan negeri. Kerjasama itu bertujuan memperkenalkan projek mega yang mendapat sokongan padu mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sejak tahun lalu," katanya.

Menurut Mazlan yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor ini, sebuah kilang pemprosesan telah dibangunkan yang dilengkapi dengan mesin vakum goreng berteknologi tinggi yang berkos RM500,000 bagi memudahkan proses vakum dan menggoreng dilakukan. "Mesin berteknologi vakum dari China itu menjalankan proses penyerapan air daripada buah-buahan tanpa menghilangkan kandungan nutrisi aslinya."Pada peringkat awalnya, kami memperkenalkan kerepek nangka dan nanas untuk pasaran tempatan. Kemudian, kami mengetengahkan pula kerepek rambutan yang mungkin kedengaran pelik buat orang tempatan," ujarnya. Mazlan memberitahu, produk terbaru itu dihasilkan setelah melakukan percubaan sebanyak 70 kali dan mengambil sehingga enam bulan.

Bercerita tentang produk terbaru itu, buah rambutan yang memiliki indeks kematangan separuh masak daripada jenis Deli dan Anak Sekolah dijadikan bahan mentah untuk menyediakan kerepek rambutan berkenaan. "Rasa kerepek rambutan rangup, manis dan lazat. Penggemar makanan ringan nyata tertarik dengan ciptaan terbaru kami ini. "Pada masa akan datang, kami ingin memperkenalkan kerepek cempedak, kacang panjang, lobak merah dan timun. Produk-produk ini boleh menggalakkan kanak-kanak yang biasanya tidak gemar makan sayur-sayuran dan buah-buahan mengubah tabiat makanan mereka," jelasnya. SILA KLIK UNTUK BACA LEBIH LANJUT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Amazon MP3 Clips


JavaScript Free Code